Sunday, October 7, 2007

Mazaliq Fi Toriq Al-Tolab



Pada satu malam, ketika membuka laci meja di rumah, terlihat beberapa helaian kertas yang telah lama dicetak dan tersimpan. Oh, buku Dr. salman al-‘Audah rupanya. Tajuk: Mazaliq Fi Toriq al-Tolab ‘Kegelinciran dalam perjalanan mencari ilmu’. Ini kali kedua saya membacanya. Rasa terpanggil pula untuk berkongsi sedikit maklumat yang menarik di dalamnya…….

Pencinta sunnah perlu mempunyai sifat berhati-hati dalam segenap perkara agar tidak tersalah langkah dalam mempraktikkan sunnah dan juga menyebarkannya. Di sini saya ingin berkongsi bersama para pembaca tentang apa yang telah ditulis oleh salah seorang pendakwah masa kini daripada Arab Saudi iaitu Dr. Salman Ibn Fahd al-‘Audah (penasihat laman web http://www.islamtoday.com/). Buku ini (Mazaliq Fi Toriq al-Tolab) boleh dimuat turun dalam bentuk Microsoft Word (dalam Bahasa Arab) melalu laman web beliau.


Apa yang ingin difokuskan ialah nasihat Dr. Salman al-’Audah terhadap para pencinta sunnah yang agak gopoh dalam mempraktikkan sunnah (pada pandangan mereka) sehingga ia menimbulkan salah faham daripada masyarakat.


Beliau menyatakan perkara ini di bawah perbahasan ketujuh dalam buku beliau (bermula daripada muka surat 40) dengan menyatakan perkara berikut sebagai beberapa kesilapan yang dilakukan oleh penuntut ilmu masa kini:

Pertama: Melaksanakan sesuatu sunnah sebelum memastikan kesahihannya.
- Contoh yang beliau berikan ialah tentang kisah beliau bertemu dengan seorang pemuda yang memakai serban yang dililitkan di kepalanya dan ia berlainan dengan pakaian orang lain di tempatnya. Setelah disoal oleh Dr. Salman, pemuda itu terus menyebut beberapa hadith palsu tentang kelebihan melilitkan serban sebegitu rupa sedangkan hadith-hadith itu sebenarnya adalah palsu!


- Contoh kedua pula ialah tentang apa yang dilakukan oleh sebahagian pemuda (di atas dakwaan mengikut sunnah) iaitu mencukur misai (tidak sekadar menipiskannya) dan menganggap bercukur itu adalah satu-satunya cara untuk mengikut sunnah.


- Contoh ketiga pula ialah sikap sebahagian penuntut ilmu hadith yang memarahi perbuatan bangun menyambut tetamu yang datang dari luar. Contohnya apabila kita berada dalam satu majlis atau satu pertemuan, lalu datang seorang tetamu atau orang ternama. Maka kita akan bangun untuk menyambutnya, bersalam dengannya dan sebagainya. Ia adalah sikap yang baik dan tidak menyalahi mana-mana nas Al-Quran atau hadith. Tetapi Dr. Salman mengkritik sikap sebahagian penuntut ilmu yang menganggap perkara itu adalah dilarang menurut ’sunnah’. Sedangkan beliau sendiri mendengar fatwa daripada bekas mufti Arab Saudi iaitu Syeikh Abd. Aziz Ibn Baz (semoga Allah merahmati beliau) yang memuji adat berdiri dan menyambut tetamu.

Kedua : Berlebihan dalam melaksanakan sunnah
- Contoh yang diberikan oleh Dr. Salman ialah sikap sebahagian muslimin dalam merapatkan saf ketika solat berjemaah. Beliau mengkritik sikap sebahagian mereka yang terlalu mementingkan cara tertentu dalam merapatkan saf. Sedangkan merapatkan saf seperti yang ada dalam hadith-hadith sahih memberi maksud agar tidak ada jemaah yang terkehadapan atau terkebelakang dan kedudukan dada mereka adalah sama sahaja. Namun ada sebahagian yang mementingkan cara ’melekatkan’ buku lali dan juga merapatkan bahu sehingga menyentuh bahu jemaah di sebelah. Beliau tidak menganggap perkara ini sebagai sunnah. Malah ini bukannya satu perkara yang disepakati sebagai sunnah oleh ulama sejak zaman berzaman. Berlebih-lebihan dalam ’melekatkan’ badan ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat salah faham dan timbul juga sikap bermasam muka.

Terdapat banyak perkara yang disebutkan oleh Dr. Salman al-’Audah dalam bukunya yang ringkas ini. Ia amat sesuai untuk dibaca terutama oleh mereka yang mampu membaca tulisan dalam Bahasa Arab. Bagi mereka yang tidak mampu, bolehlah melayari laman web beliau http://www.islamtoday.com/ iaitu versi Bahasa Inggeris untuk memperolehi maklumat yang pelbagai berkaitan berita dunia Islam, fatwa-fatwa terkini, artikel Dr. Salman dan lain-lain lagi. Wallahu a’lam.
Abdullah Mas'ud MTAQ

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters