Saturday, March 10, 2007

Pembelaan Para Ulama Terhadap Ibnu Taimiyyah

Baru-baru ini, saya berasa amat terkilan kerana masih ada si jahil atau sekumpulan yg masih sengaja menghina seorang tokoh ulama besar yang mana merupakan seorang sheikhul islam iaitulah Ibn Taimiyyah. Macam-macam penghinaan yang sampai kepada saya. Setelah meneliti beberapa hujah mereka, ternyata kosong belaka. Namun, tergerak juga hati ini untuk menjawab. Namun saya tidak berminat langsung menjawab tohmahan tersebut kerana nyata tidak berasas langsung. Namun saya kemukakan beberapa pandangan imam dan ulama besar berkenaan peribadi Ibn Taimiyyah.

Antara Sebab Utama Celaan Terhadap Ibn Taimiyyah:

Di dalam Ahli Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah ahli sunnah dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka cara terbaik untuk mempertahankan Syi`ah ialah dengan menghentam habis-habisan Ibn Taimiyyah. Hentaman itu pula akan dilihat lebih mantap dengan menggunakan nama ahli sunnah itu sendiri. Ini dengan cara diselewengkan fakta-fakta ulama, membuat pengkhianat ilmiah dan membohongi pembaca yang tidak mampu membuat penyelidikan. Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi berkata dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah:”Sesungguh nya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa al-rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a. Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah” (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah) (m.s. 213 cetakan Dar al-Qalam, Kuwait ).

Sebenarnya, golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan. Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir, yang terkenal dengan Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi, dalamnya diceritakan bagimana Ibn Kathir begitu mencintai gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang dengan fatwanya. Kemunculan al- Imam Ibn Kathir, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan lain-lain adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang kesarjanaan Islam. Musuh-musuh ahli sunnah telah sedia mengetahui hal ini, maka mereka sedaya upaya berusaha merobohkan khazanah ini.

Oleh itu, mari kita lihat beberapa pandangan para ulama dan imam berkaitan peribadi Ibn Taimiyyah dan perihal keluasan ilmunya…

Daripada Al-Imam Sayuti:

Al-Imam Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz, al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut: “Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang.. memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..” (m.s. 516, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Pandangan al-Zarqani Berkenaan Ibn Taimiyyah:

Al-Zarqani banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya. Antaranya di bawah tajuk Fawaid ma’rifah asbab al-Nuzul (faedah-faedah mengenali sebab-sebab turun ayat al-Quran), beliau menyatakan: “Faedah yang kedua: membantu memahami ayat dan menolak kekeliruan, sehingga kata al-Wahidi: “Tidak mungkin dapat diketahui tafsir ayat, tanpa meneliti kisah dan sebab turunnya. Kata Ibn Taimiyyah: “Mengetahui sebab nuzul, membantu memahami ayat, kerana sesungguhnya ilmu mengenai sebab, menatijahkan ilmu mengenai apa yang disebabkan” (rujukan: Manahil al-`Urfan, jilid 1, m.s. 109, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut ).

Ulasan Abu al-Hasan al-Nadwi:

Kata Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi: “Sesiapa yang ingin melihat lautan ilmu Ibn Taimiyyah, keluasan pandangannya, penguasaannya, kekuatan hafalannya, ingatannya terhadap masalah-masalah (yang di bahaskan), kematangannya, ketelitiannya, kebijaksaannya dan kegemilauannya, maka bacalah kitab tersebut (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah)”” (m.s. 215)

Pujian Ibnu Hajar al-‘Asqalani:

Ibn Hajar menyebut: “Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau megelarnya sebagai “Syeikh al-Islam”. (jilid 1, m.s. 158-159). Bahkan al-Zahabi menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya: “Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang” (jilid 4, m.s. 1496, cetakan Haidar Abad, India)

Penafian al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h. Bila Dituduh Beliau Membenci Ibn Taimiyyah:

Seorang muhaqqiq yang dihormati di kurun ini, iaitu, al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h.: “Bukti yang kuat (bahawa aku tidak membenci Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim) ialah aku telah penuhi kitab-kitabku dan ulasan-ulasanku dengan pendapat-pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim-semoga Allah merahmati keduanya-. Aku telah berkhidmat untuk kitab-kitab al-Imam Ibn al-Qayyim dengan menyebar dan mentahqiqkannya, -seperti yang telah disebutkan-. Aku juga telah menyokong dan membela mereka berdua. Aku menyebut mereka dengan penuh sanjungan dan hormat pada berpuluh-puluh tempat di dalam kitab-kitabku. Sepertimana yang jelas sebelum ini tanpa sebarang keraguan lagi. Adapun al-Syeikh al-Khauthari r.h., semoga Allah mengampuni kita dan juga dia, tidak menyukai kedua imam ini. Itu adalah pandangan dan ijtihadnya. Sekiranya aku ini berpegang dengan setiap yang dia kata, tentu aku juga akan tidak menyukai kedua mereka (Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan al-Imam Ibn al-Qayyim) lalu mengikuti sikapnya terhadap mereka berdua –Allah rahmati keduanya. Namun apa yang berlaku membuktikan sebaliknya….” Sehingga katanya “.. segala puji bagi Allah yang telah mengurniakanku dapat membezakan antara yang pendapat yang boleh diterima dan ditolak. Aku akan mengakui apa yang aku lihat benar berdasarkan kefahamanku, sekalipun ianya datang dari seorang yang rendah kedudukannya. Aku akan tinggalkan apa yang aku dapati menjauhi kebenaran, sekalipun ianya datang dari tokoh yang lebih besar dari al-Kauthari, yang terdiri daripada para ulama yang masyhur. Sekalipun aku seorang pengikut, segala puji bagi Allah di atas kurniaannya, namun tiada seorang pun yang mengikut segala-galanya, melainkan dia seorang yang ta`asub ataupun seorang yang bodoh” (rujukan: Imdad al-Fattah, bi Asanid wa Marwiyat al-Syeikh `Abd al-Fattah, m.s. 657, cetakan: Maktabah al-Imam al-Syafi’i, Riyadh ).

Luahan al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi:

Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat al-Nadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut dalam bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah: “Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (m.s. 170, cetakan: Dar al-Wafa, Mesir)

Ulasan Peribadi Penulis:

Berpeganglah kepada ajaran Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal”. (49:6)

Saya tertarik dengan apa yang dipetik oleh al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) dalam kitabnya `Ulum al-Hadith:

“Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah kaki mereka di dalam syurga sejak seratus atau dua ratus tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat mereka” (m.s. 390, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut )

Bawakan Bukti Jika Kamu Di Pihak Yang Benar:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterang an Yang (membuktikan kebenaran) apa Yang kamu katakan itu, jika benar kamu dari golongan yang benar". (2:111)

Penutup & Amaran:

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h telah pun pergi menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas. Para ulama hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan ini, bahkan lebih dari itu. Sesiapa yang menghina dan mencerca Ibn Taimiyyah di zaman ini, akan berdiri bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di akhirat. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia itu, yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya yang tidak mampu disukat. Semoga Allah memelihara kita semua dari kegelinciran dan disesatkan oleh golongan yang jahat.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters