Sunday, February 11, 2007

Harap panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari ...

Sepanjang tahun lepas, kita menyaksikan dunia hiburan dikejutkan dengan berita artis paling ramai bercerai. Ini membabitkan selebriti popular sama ada yang sudah lama mendirikan rumah tangga atau pun baru setahun jagung. Tiada siapa dapat lari daripada berhadapan dengan masalah rumah tangga. Puas mempertahankan mahligai terbina dengan pelbagai usaha dibuat, namun orang tersayang terpaksa dilepaskan. Tentu cabarannya hebat kerana kedudukan artis popular sentiasa menjadi perhatian umum. Apa nak dihairankan apabila mereka menjadi fokus paparan utama kebanyakan akhbar dan majalah tempatan.

Paling hangat diperkatakan penceraian pasangan paling romantis, Yusry Abdul Halim dan Erra Fazira. Perkahwinan mereka yang dibina 3 tahun lalu diangkat sebagai perkahwinan paling meriah dan penuh warna-warni. Demikian pula perkahwinan yang dibina penyanyi utama kumpulan Wings, Azhar Othman (Awie) bersama Arni Nazira selama 9 tahun musnah apabila mereka mengambil keputusan untuk berpisah selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuantan membenarkan permohonan tuntutan cerai Arni pada 16 Oktober 2006. Selain itu, penyanyi popular dengan lagu tradisional dan pop etnik, Noraniza Idris memilih untuk bercerai dengan Mohd Fauzi Tajudin atau Fareez selepas 18 tahun hidup bersama. Mereka bercerai talak 1 pada 7 April 2006.

Sebagai pemerhati luar, eloklah kita berdiam diri daripada cakap-cakap belakang yang berbaur spekulasi. Daripada membuat andaian melulu sebab perpisahan mereka, lebih baik kita mendoakan kesejahteraan mereka. Bukan mudah untuk cekal menghadapi dugaan bergelar janda. Jauh daripada menuding jari terhadap sesiapa kerana nanti banyak hati yang pasti terluka. Tapi anggaplah kejadian yang menimpa sebagai pedoman untuk muda-mudi di sebalik tertulis takdir Allah yang tiada siapa dapat menghalang. Ketentuan serta sunnahNya sesuai dengan tindakan dan sebab daripada kita.

Atas pengetahuan penulis yang terbatas, penulis tidak berhajat untuk memberi rumusan terhadap fenomena ini. Biarlah rakan-rakan membuat penilaian rasional sebelum ia menjadi mimpi ngeri dalam hidup kita kelak. Pesan guru penulis : “Memang seronok apabila bergelumang dengan perkara-perkara yang menjerumus kepada dosa. Dan kesoronokan yang di rasai itu kelak pudar apabila kita telah diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah ... ia pudar lantaran kita tidak tahu dan mendalami apakah ikatan perkahwinan sebenar ... selepas ikatan yang sah wujud, segala ujian akan muncul. Syaitan pula akan lari meninggalkan orang-orang yang telah berjaya digodanya. Pada masa ini, barulah kita tahu adakah kita sesuai dan bahagia dengan orang yang kita impikan”

Fikirlah masak-masak ... sememangnya perpisahan amat menyakitkan. Bagi penulis, biarlah episod duka mereka berakhir di situ. Usah ditimbulkan cerita yang kurang enak selepas mereka membawa haluan masing-masing. Bagi kita pula, jadilah soleh … kemudian carilah yang solehah.

Rujukan: Harian Metro 29 Dis. 2006 (Rap halaman 6-7) & nasihat guru & ulasan penulis sendiri

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters